Walaupun bayi itu tidak di undang, terhasil dari gadis-gadis malang yang di rogol, gadis-gadis naif yang hanyut dan tergoda dengan keseronokan dunia, hanyut dengan nafsu dan janji lelaki yang kononnya sepenuh hati mencintai mereka dan tanpa sedar itu hanyalah sekadar kata-kata manis untuk menambat hati si gadis.
Biarpun bayi tersebut tidak diundang namun mereka suci dari dosa, umpama kain putih kosong, hanya kita yang perlu mencoraknya, menjadikan sebagaimana yang kita mahu. Jika kena dengan corak dan warnanya maka kain putih kosong tadi akan menjadi sehelai kain yang amat bernilai.
Begitulah tugas kita sebagai ibu.., mendidik dan membentuk anak kita namun sudah menjadi asam garam dunia, tidak semuanya akan berjaya namun bukanlah salah ibu andai sudah berusaha memberi yang terbaik, mungkin itu adalah dugaan dari Pencipta kita yang mahu menguji sekuat mana iman kita. Andai ini yang sudah ditentukan, maka sabar dan redha lah kerana sudah pasti ada ganjaran dari-Nya.
Bagi mereka yang membuang, membunuh bayi, pasti suatu hari kekesalan itu akan mengejar mereka. Saat itulah baru kesedaran itu akan timbul namun sudah terlambat untuk merubah melainkan terpaksa menanggung kesal sepanjang hayat. Pada mereka yang sedang menanggung derita tanpa rela, sabarlah dengan ujian dari-Nya, lahir dan belailah bayi itu dengan hati yang redha dan ikhlas. Hikmah dan ganjaran dari-Nya pasti ada.
Kepada mereka yang masih hanyut, moga anda cepat sedar dari mimpi indah dunia yang sementara. Berubahlah demi masa depan anda yang masih panjang, kebahagiaan pasti akan menyusul. Kesilapan anda mungkin bakal melahirkan bayi yang tidak diundang. Kasihanilah mereka kerana gelaran anak luar nikah atau anak haram itu bakal memalapkan masa depan mereka.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan