Sabtu, 12 Mac 2011

sayang, kasih dan cinta

Apa bezanya? 3 perkataan berbeza tetapi mempunyai makna untuk tujuan yang hampir sama..,  3 perkataan yang sering menjadi ungkapan semua peringkat umur, sedari kanak-kanak sehingga dewasa.  Ungkapan untuk menggambarkan perasaan setiap insan, sering kita dengar bagi kanak-kanak berusia 2-5 tahun, mereka sering mengungkapkan sayang yang ditujukan kepada ayah, ibu, atuk, nenek, adik, abang mahupun kakak. Tetapi kita sendiri tidak pasti sejauh mana mereka memahami ungkapan sayang itu. Berbeza bagi kanak-kanak yang menginjak remaja mereka mungkin sudah memahaminya.
Perkataan kasih pula jarang di dengar sebagai ungkapan melainkan sekadar ucapan terima kasih untuk menunjukkan penghargaan kepada seseorang yang memberi pertolongan atau bantuan. Perkataan kasih sering digunakan untuk menunjukkan rasa seseorang dan digunakan sebagai penulisan bagi mereka yang berkarya.  ‘Kasih ibu-bapa pada si anak‘,  ‘kasih guru pada pelajarnya‘,  ‘kasihkan seseorang‘..,  tetapi ia sukar digunakan sebagai satu ungkapan.
Cinta..?  Perkataan cinta digunakan dalam banyak hal.  Cinta juga adalah perkataan yang sering kita dengar sebagai luahan rasa.  Namun cinta itu sangat besar penggunaan dan maknanya.  ‘Pecinta alam’ bagi mereka yang amat menitik beratkan kebersihan persekitaran mereka dan banyak lagi seperti ‘pecinta haiwan’, ‘pecinta muzik’ dan lain-lain.
Cinta digunakan untuk meluahkan rasa seseorang. Cinta juga sering di salah guna dan di salah tafsirkan.  Kerana cinta jugalah ramai remaja yang hanyut.  Mereka menafsirkan cinta perlu pengorbanan hingga mengorbankan sesuatu yang tidak patut pada orang yang juga tidak sepatutnya.  Korbankan harga diri hanyalah  pada cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata, kerana cinta yang sebenarnya harus sama-sama mempertahankan maruah diri hingga menjadi pasangan yang halal di sisi agama, bukan menghalalkan sebelum diijabkabul.
Maka cinta yang sebenar dan seharusnya adalah cinta pada Pencipta kita, cinta pada Allah dan Rasul-Nya.  Kerana apabila kita kembali menyintai pencipta kita maka dengan sendirinya kita akan mencintai diri kita, maruah kita, pasangan kita, keluarga dan kehidupan kita. Jadi cintalah pada yang berhak kerana setiap pergerakan dan perbuatan kita, walau sebijak mana kita menyembunyikannya, namun hakikatnya ada yang tidak jemu memerhati dan mengikutinya.  Andai kita sayang, kasih dan cintakan diri dan kehidupan kita maka kembalilah menyayangi, mengasihi dan mencintai Pencipta kita. Cinta pada-Nya jua yang abadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

setiap yang terpamer adalah hak milik eyz reyza